Wednesday, 4 January 2012
Halal dan Haram Mempengaruhi Keperibadian Muslim
Pengenalan
Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh hukum Syarak. Di Malaysia isu makanan halal dan haram menjadi agenda yang begitu hangat diperkatakan. Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malahan turut mendapat perhatian daripada penganut-penganut agama lain kerana pengusaha makanan di Malaysia terdiri dari pelbagai kaum. Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula dari proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini kadang kala digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya
Hadis Yang Berkaitan Halal dan HaramSurah 2 - Al Baqarah : Ayat 172)
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.
Status Halal HaramSejak kebelakangan ini ramai tidak lagi memberatkan status halal haram dan kadang kala makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal. Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!
Pengaruh halal kepada peribadi
• Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.
• Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.
• Keperibadian seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya.
• Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka.
Kenapa Kita Perlu Kepada Makanan Halal?
• Makanan merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa makanan kesihatan manusia akan terjejas. Makanan dapat membekalkan haba dan tenaga bagi tujuan menjaga serta mengekalkan suhu badan.
• Makanan juga berfungsi dalam aktiviti pernafasan dan aliran darah bagi semua kerja otot dalam badan serta terlibat bagi proses penggantian zat dalam badan (metabolisme). Selain itu, umat Islam memerlukan makanan untuk tujuan beribadat kepada Allah SWT.
• Pemakanan dapat ditakrifkan sebagai sains yang berkenaan dengan zat, khasiat dan nutrien dalam makanan. Ia merupakan kombinasi satu proses di mana organisma mengambil, menghadam, menyerap, mengangkut, mengguna dan mengkumuh bahan makanan untuk tujuan pembuatan serta membaik pulih komponen dalam badan.
• Aktiviti pemakanan yang baik akan membolehkan seseorang itu mendapat faedah daripada pengambilan sesuatu makanan. Ia dapat mengawal aktiviti organ-organ tubuh badan dengan baik (mata, jantung, peparu dan sebagainya) serta membolehkan seseorang bergerak, berjalan, berlari, bekerja dan bermain.
Doa Dimakbulkan
Persoalan yang mungkin timbul kepada manusia ialah mengapa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru agar umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian. Sudah tentu adanya hikmah dan kelebihan yang dapat membantu manusia menjalani kehidupan sebagai hamba Allah SWT dengan lebih baik sebagaimana berikut:
Supaya Doa Dimakbulkan Oleh Allah SWT Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya di penuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapi dengan sesuatu yang haram,
Bagaimana akan diperkenankan permohonannya. (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi).
Kesimpulan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia peka kepada masalah ini. Sehubungan ini makmal tiga tingkat yang akan dibina akan memulakan operasinya pada 2013 yang akan menganalisa makanan, menguji pelbagai produk atau bahan termasuk peralatan yang digunakan dalam pembedahan klinikal. Fasa kedua pembinaan pula akan melibatkan pembinaan bangunan latihan untuk membolehkan Jakim melatih pegawai dan kakitangan tempatan serta dari luar negara. Kewujudan makmal ini kelak akan melambangkan kesungguhan pihak Kerajaan dalam memajukan Malaysia sebagai hub halal yang diiktiraf di seluruh dunia.
Sumber disunting dari : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Portal Rasmi Halal Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment